Azhari Mohd Zain

Azhari Mohd Zain | Director

Minyak Dagu
Minyak DaguIni sebuah kisah tentang dendam. Perasaan benci yang mendalam telah menyebabkan Azman bertekad untuk melakukan perbuatan sihir terhadap bekas tunangnya, Emelda menggunakan minyak dagu yang sangat kuat. Azman pergi berjumpa dengan Wak Minarjo, bomoh yang pakar menghasilkan minyak dagu menggunakan dagu orang yang telah mati. Emelda memutuskan pertunangan itu atas desakan orang tuanya yang mengatakan Azman bukan calon yang tepat. Mereka lebih menyukai Johan, seorang doktor berbanding Azman, seorang jurujual yang hanya bergantung kepada komisen. Liza, ibu kepada Azman kecewa mendengar berita itu, apatah lagi Azman. Selepas menemui Wak Minarjo dan melihat sendiri keberkesanan minyak dagu itu, Azman mengambil keputusan untuk memilikinya juga. Dia mahu Emelda tergila-gilakannya. Wak Minarjo memberitahu Azman bahawa dia perlu mengikut pantang larang jika tidak mahu perkara buruk terjadi. Azman diberitahu, setelah dia mencalit minyak itu pada siku Emelda, dia perlu menanamnya di bawah pokok pisang untuk mengelakkan minyak itu dipanah petir dan kuasanya akan hilang. Emelda dan Johan bakal berkahwin dan disebabkan Emelda tak mahu mengecewakan Azman, dia menjemput Azman ke majlis perkahwinan mereka. Azman menggunakan peluang ini untuk mencalit minyak itu pada siku Emelda. Ketika majlis perkahwinan mereka, Emelda seperti diserang histeria. Emelda bertambah sakit setiap hari dan asyik bertanya tentang Azman, bukannya Johan. Ainon, ibu kepada Emelda percaya apa yang berlaku kepada Emelda ini adalah perbuatan Johan kerana hubungan mereka sebelum berkahwin tidak lama. Setelah bergaduh besar, Ainon diserang sakit jantung dan meninggal dunia. Disebabkan rasa bersalah, Azman menziarahi rumah orang mati dan mengucapkan takziah. Tetapi Azman lupa yang dia telah melanggar pantang larang yang dia tidak boleh menziarahi rumah orang mati. Kini segalanya berubah. Apakah yang akan berlaku kepada Azman? Dapatkah Emelda bebas daripada perbuatan sihir ini?
Santau
SantauSepasang suami isteri, Halim dan Nina bersama anak perempuannya Tuti hidup dalam keadaan selesa di sebuah perkampungan Melayu moden. Halim sentiasa menjadi contoh di kalangan masyarakatnya kerana berjaya dalam kerjaya dan suasana rumah tangganya yang harmoni. Di sebelah rumah mereka tinggal sepasang suami isteri, Usin dan Ana, dan di sebelah satu lagi adalah rumah kosong yang sedang menanti orang untuk menyewa. Selepas jiran baru berpindah bersebelahan rumah mereka, keluarga Halim mula dihantui oleh kejadian aneh dan menyeramkan di dalam rumah mereka. Bermula dengan Tuti yang terlihat pelbagai kelibat misteri sehinggalah kepada Nina yang sering mengalami kejadian pelik yang belum pernah berlaku selama ini. Semuanya berlaku apabila Halim tidak berada di rumah. Halim sangat sibuk dan menghabiskan masanya di luar sehingga lewat malam. Nina mula berubah sedikit demi sedikit daripada seorang isteri yang baik dan rajin menjadi seorang yang malas dan panas baran. Setiap hari ada sahaja perkara yang berlaku yang mampu meretakkan hubungan keluarga mereka. Sebagai seorang yang berjaya, Halim tidak begitu mempercayai wujudnya benda ghaib dalam rumah mereka apabila Tuti mengadu padanya. Satu hari Nina mula mengalami sakit perut yang amat sangat dan Halim membawanya ke klinik. Doktor mengesahkan Nina mengalami gastrik. Bagaimanapun Tuti mengesyaki ibunya mengalami gangguan benda halus. Satu malam, Halim berkejar pulang apabila Tuti memberitahu Nina dirasuk dan menjerit-jerit. Akhirnya Halim membawa Nina berjumpa bidan kampung. Bidan tersebut mendapati Nina dan Halim telah menerima SANTAU kerana perasaan dengki dengan kebahagiaan dan kejayaan mereka.