Lovely Runner
Bertahun-tahun yang lalu, Im Sol (lakonan Kim Hye-yoon) yang lumpuh separuh badan pernah berputus asa dan berniat untuk menamatkan riwayatnya. Namun, dia kembali menemui semangat untuk hidup selepas mendengar kata-kata perangsang daripada seorang idola yang baru sahaja debut, Ryu Sun-jae (lakonan Byeon Woo-seok) menerusi satu panggilan telefon dalam sebuah rancangan. Sejak hari itu, Im Sol terus menjadi peminat setia lelaki tersebut.
Masa berlalu hingga ke tahun 2023, Ryu Sun-jae yang kini telah bergelar bintang tersohor, tiba-tiba dilaporkan meninggal dunia pada malam konsert kumpulannya, Eclipse. Dalam keadaan luluh dan masih tidak percaya, Im Sol secara tiba-tiba merentas masa kembali ke zaman persekolahan mereka berdua melalui seutas jam tangan yang pernah dipakai oleh Sun-jae. Kini, dia mendapat peluang berharga untuk mengubah dua tragedi duka di masa lalu: kematian idolanya dan kelumpuhan dirinya sendiri.
Namun, seiring dengan pengembaraan masa Im Sol, semakin banyak petunjuk mula terbongkar lantas merungkai kebenaran sebenar di sebalik insiden-insiden tersebut. Adakah Sun-jae benar-benar meragut nyawanya sendiri atau ada dalang lain di sebaliknya? Malah, kemalangan jalan raya yang melumpuhkan Im Sol dahulu rupa-rupanya bukanlah satu kemalangan biasa...


